KARAK: Bukit yang jelas kelihatan gondol dapat dilihat daripada Medan Selera Karak telah menimbulkan rasa tidak senang penduduk setempat.
Seorang penduduk, Kamarudin Baharun berkata, semakin hari semakin banyak bukit yang digondolkan, justeru menimbulkan pelbagai tanda tanya.
“Boleh dikatakan satu per empat sebelah kanan bukit terbabit kelihatan gondol dan tidak mustahil keseluruhan bukit itu akan gondol tidak lama lagi.
“Perkara ini amat membimbangkan kami tambahan pula jika dilihat dari dekat akan kelihatan sedikit kesan tanah runtuh dari bukit yang diteroka itu,” katanya.
Tambahnya, bukit gondol tersebut adalah kesan dari pembalakan yang dilakukan pihak tertentu namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berlesen atau pun tidak.
“Saya telah melaporkan perkara ini kepada pihak berwajib dan dimaklumkan bahawa berdasarkan risikan yang dibuat, peneroka bukit terbabit memaklumkan mempunyai kebenaran untuk melakukan pembalakan di kawasan tersebut.
“Meski pun mendapat kebenaran, kami tetap merasa kesal melihat bukit gondol tersebut kerana semakin hari, semakin banyak hutan yang diteroka di kawasan ini,” katanya.
Beliau yang merupakan pesara Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang Barat sebelum ini juga berkata, meskipun peneroka terbabit mendakwa mempunyai kebenaran, namun siasatan terperinci harus dilakukan.
“Diharap pihak berwajib dapat memeriksa secara terperinci termasuk kebenaran yang telah diberikan kepada pihak peneroka berkenaan.
“Kami tidak mahu Karak ditimpa nasib yang sama seperti di Cameron Highlands hujung tahun lalu.
“Lebih baik mencegah sekarang sebelum kejadian bencana banjir lumpur dan tanah runtuh melanda kawasan ini pula,” katanya. #sumber
No comments:
Post a Comment