Sunday, 31 May 2015

Satu Lagi Kem Transit Pemerdagangan Manusia Di Kesan !



KUALA LUMPUR: Satu lagi kem transit pemerdagangan manusia dikesan di Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand.
Kem yang lengkap dengan pelbagai kemudahan yang dilengkapi dengan generator dan empangan kecil, amat berbeza dengan kem transit yang ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang meninjau ke kawasan itu pada Ahad.
Sementara itu, 35 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang Kelian telah di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.
Setakat ini, sebanyak 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia ditemui antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.
Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa individu yang terlibat dengan kem dan pembunuhan berkenaan dipercayai bersembunyi di Ranong, Thailand bersempadan dengan Kawthoung di Myanmar.
Ranong terletak di sepanjang Pantai Andaman Utara di Selatan Thailand dan mudah diakses melalui bot dari Kawthoung, Myanmar sekali gus menjadi pilihan sindiket untuk melakukan kegiatan pemerdagangan manusia.
Dalang terlibat dipercayai warga Thailand mengelak dikesan pihak berkuasa, baik dari Malaysia dan Thailand yang terus memperhebat operasi menjejakinya di Ban Ta Lok, Padang Besar, tempat kubur besar mengandungi enam mayat, dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui.   
Keseriusan Polis Thailand menjejaki mereka yang terlibat terserlah dengan 81 waran tangkap telah dikeluarkan setakat ini temasuk empat waran tangkap baharu pada Ahad.
Kira-kira 51 suspek telah ditangkap sementara 30 orang lagi masih bebas dan Polis Thailand sedang memburu saki-baki suspek di Songkhla, Satun dan Ranong. #sumber


No comments:

Post a Comment