KUANTAN: Himpunan Ops Sekat "BLOCKADE" anjuran Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM) di Taman Dato' Rashid dan RTP Bukit Goh dekat sini pagi tadi gagal mencapai matlamatnya apabila ada pihak seolah-olah sudah mengarahkan lori-lori bauksit hentikan operasi mereka seperti biasa hari ini.
Tinjauan krew PDO ke lokasi mendapati pihak polis telah mengadakan beberapa sekatan jalanraya sejak awal pagi lagi. Di Taman Dato' Rashid, himpunan di ketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Andansura Rabu. Manakala di RTP Bukit Goh pula, diketuai oleh ADUN Semambu, YB Lee Chean Chung.
Peserta berhimpun di sepanjang jalan masuk ke Taman Dato' Rashid melalui jalan pintasan Kuantan-Kemaman dengan memegang poster-poster yang tertera perkataan "Debu Bauksit Derita Kami", "Tauke Kaya Kami Derita", "Bahana Bauksit, Rumah Kotor Kereta Rosak" dan lain-lain lagi.
Turut dipaparkan ialah kain rentang yang tertera beberapa tuntutan segera GERAM, antaranya guna kontena bertutup, bersihkan lori sebelum keluar, guna laluan yang dibenarkan, jangan parking di kawasan kampung dan perumahan.
Turut tertera perkataan, bersihkan jalanraya, pulihkan kerosakan, cegah pencemaran, pertingkat dan perketatkan penguatkuasaan.
Himpunan yang bermula jam 9.00 pagi itu berakhir sekitar jam 12.00 tengahari tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Turut dilihat bersama dalam program itu pagi tadi ialah YB Dato' Fauzi Abdul Rahman (Ahli Parlimen Indera Mahkota). YB Fuziah Saleh (Ahli Parlimen Kuantan), YB Sim Chon Siang (ADUN Teruntum)serta lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO yang berkaitan. Tidak kelihatan pemimpin atau pun NGO kerajaan yang bersama dalam program itu.
Orang ramai yang melalui lokasi terbabit membunyikan hon dan mengangkat tangan tanda sokongan terhadap bantahan tersebut. Akibat ketiadaan lori-lori berkenaan, hanya tayar terpakai yang disusun bagi menghalang jalan sebagai simbolik. Pada asalnya himpunan adalah bertujuan untuk menyekat laluan lori-lori yang membawa bauksit ke Pelabuhan Kuantan.
Difahamkan, semua pelombong bauksit diarah menghentikan operasi kononnya bagi tidak mengganggu perjananan himpunan terbabit. Maka itulah tiada lori yang dilihat lalu-lalang seperti biasa di lokasi terbabit. Himpunan yang lebih besar dijangkan menyusul kemudian. #PDONEWS
No comments:
Post a Comment