Wednesday, 27 May 2015

Penternak, Pemilik Permit 'Berebut Kawasan' Di Temerloh !


TEMERLOH: Perebutan kawasan antara seorang penternak ikan sangkar dan pemilik permit lesen pam pasir yang menjadi isu hangat di daerah ini kira-kira dua minggu lalu termasuk di dalam laman sosial Facebook (FB) terus menjadi perhatian umum.

Pemilik sangkar ikan Khaidir Ahmad (foto), 52, mendakwa mengusahakan projeknya di atas tanah yang sedang dimohon lesen pendudukan sementara di Kampung Lebak manakala pemilik permit pam pasir Hamzah Mohamed Husain 60, mendakwa memiliki kelulusan daripada pihak berkuasa negeri tahun lalu untuk tujuan operasi pam pasir di atas tapak yang sama.

Khaidir Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh, Pahang (PPPISTP) merayu kerajaan negeri Pahang supaya terus membenarkannya beroperasi kerana mempunyai hak kerana operasi pam pasir telah dihentikan atas arahan pihak atasan.

Menurutnya, operasi pam pasir tersebut dihentikan selepas seramai kira-kira 300 penduduk menandatangani memorandum bantahan operasi pam pasir dan dihantar kepada menteri besar Pahang Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.

Beliau mendakwa kawasan tersebut sebenarnya bekas tapak lama ternakan ikan sangkar di bawah program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) sekitar 30 tahun lalu dan tidak lagi diusahakan untuk sebarang kegiatan sebelum ini.

Menurutnya, sejak mengalami kerugian sekitar RM200,000 apabila sebanyak 39 daripada 54 sangkar ikan patin miliknya di Kampung Durian Tikus musnah dihanyutkan arus banjir hujung tahun lalu dia terpaksa mencari tapak baharu bagi mengelak terus mengalami kerugian.

Menurutnya, dia menerima pinjaman RM70,000 daripada Agrobank dan RM50,000 dalam bentuk bantuan daripada Jabatan Perikanan bagi memulakan semula projek ternakan ikan sangkar di tapak baharu iaitu di Kampung Lebak kira-kira 1.5 kilometer dari tapak asalnya di Kampung Durian Tikus di sini.

“Pada 4 Februari lalu, saya memohon lesen pendudukan sementara (TOL) untuk ternakan ikan sangkar di tapak baharu ini dengan pejabat tanah daerah Temerloh dan sehingga kini masih belum menerima jawapan.

“Ketika itu saya telah memulakan projek pembinaan sangkar baharu sebanyak 30 buah dengan pelaburan sekitar RM200,000 lagi tetapi pada 15 Mei lalu saya menerima notis daripada pejabat tanah dan daerah supaya memindahkan sangkar saya kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

“Saya diminta merobohkan papan tanda projek dan mengalihkan sangkar ikan dalam masa 14 hari dan jika gagal boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara dan boleh didenda RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya semalam.


Adu kepada perdana menteri

Khaidir berkata, dia yang tidak berpuas hati dengan perkara itu telah melaporkan kepada perdana menteri, Menteri Besar Pahang dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang untuk tindakan lanjut.

“Dakwaan pihak berkenaan mengatakan TOL saya bertindih dengan pemilik permit pam pasir adalah tidak benar sama sekali kerana ia berada di kedudukan yang berbeza.

“Tindakan yang diambil ke atas saya seolah-olah sangat peribadi sedangkan terdapat kira-kira 600 pemilik sangkar ikan lain di sepanjang daerah Jerantut hingga ke Pekan tetapi hanya saya seorang sahaja yang dikenakan tindakan di bawah akta ini.

“Kami pernah buat bantahan melibatkan 300 penduduk kampung mengenai kewujudan pam pasir di sini tetapi tidak ada tindakan dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Sementara itu pemilik permit lesen pam pasir  Hamzah Mohamed Husain, 60, berkata, dia mempunyai bukti kukuh bahawa tanah tersebut telah diluluskan pihak berkuasa negeri untuk tujuan operasi pam pasir.

Menurutnya, lesen pendudukan sementara (TOL) untuk tujuan operasi pam pasir juga diluluskan pihak berkuasa negeri pada 15 Oktober 2014 iaitu pada tahun lepas lagi.

“Kami sudah TOL Sungai Pahang seluas 1.2 hektar untuk mengepam pasir dan juga menyewa tiga lot tanah milik penduduk tempatan untuk tujuan operasi pam pasir ini.

“Saya dan pemilik tanah ada perjanjian sewa dan ia bertujuan dijadikan kawasan simpanan pasir atau ‘stockpile’ termasuk kami menyewa satu lot tanah yang diwakafkan kepada pertubuhan anak yatim.

“Kami ikut segala prosedur yang ditetapkan kerajaan, kawasan yang menjadi pertikaian ini adalah sah milik saya untuk tujuan operasi pam pasir,” katanya di rumahnya semalam.


Dakwaan tidak berasas

Sementara itu Pengurus Syarikat Pasir Hamzah Mohamed Husain, Hamdan Maarof, 60, berkata, dakwaan pihak pengusaha ikan sangkar mengatakan operasi pam pasir ini ditutup atas arahan menteri besar adalah tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, pihak syarikatnya terpaksa menutup sementara operasi tersebut penghujung tahun lalu kerana banjir besar dan terpaksa memindahkan semua jentera ke tempat selamat.
“Kami juga perlu menunggu tempoh tiga bulan bagi penilaian spesifikasi daripada JKR selepas membuat kerja memasang pembetung dan beberapa kerja berkaitan tanah di lokasi terbabit.

“Apabila kami mahu memulakan operasi pam pasir selepas banjir mendapati ada pencerobohan iaitu ada pihak yang meletakkan tiang cerucuk besi di atas tanah yang kami TOL, kami buat laporan polis mengenai perkara ini pada 5 Februari 2015.

“Kemudian pada 7 Mac 2015 sekali lagi kami terkejut apabila mendapati terdapat kesan pencerobohan di atas tebing sungai akibat kerja menanam cerucuk besi bagi tujuan pembinaan sangkar pihak terbabit.

“Kami buat laporan polis mengenai perkara ini kerana pihak terbabit telah menebang beberapa pokok dan membawa masuk jentera berat ke dalam tanah yang diluluskan TOL untuk kami, laporan polis dibuat kerana kami telah membayar deposit menjaga struktur tebing berjumlah RM10,000 kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan RM15,000 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya semalam.

Hamdan berkata, pihaknya telah melabur sekitar RM500,000 bagi membolehkannya menjalankan operasi pam pasir tetapi secara tidak semena-mena dihalang pihak tertentu walaupun sudah mempunyai kelulusan daripada pihak  berkuasa negeri. #sumber

No comments:

Post a Comment