Komen Dan Punca Malaysia Hanya Menang Tipis Lawan Timor Leste. Malaysia memulakan langkah kanan dalam saingan Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi. Skuad B-23 Malaysia di bawah jurulatih, Datuk Ong Kim Swee hanya mampu menewaskan pasukan kerdil, Timor Leste 1-0 hasil gol jaringan D Saarvindran pada minit ke-12.
Kontroversi perlawanan berlaku pada minit ke 32 perlawanan apabila Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah Selangor, Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Singapura, Foo Chuan Hui kerana didakwa meludah pemain Timor Leste. Kehilangan seorang pemain adalah punca utama skuad bawah 23 tahun negara hanya mampu menang tipis 1-0 dengan Timor Leste.
Berikut adalah komen selepas perlawanan oleh jurulatih Ong Kim Swee yang dipetik dari FAM, yang bakal menghadapi ujian getir dalam perlawanan kedua Kumpulan B bertemu Vietnam, Selasa ini.
KOMEN JURULATIH MALAYSIA B-23, DATUK ONG KIM SWEE
"Saya percaya kita boleh bermain lebih baik jika beraksi 11 pemain sepanjang perlawanan. Apa yang berlaku kepada Nazmi, jika benar apa yang didakwa (dia meludah pemain lawan), saya tak boleh menerima sikap sebegini kerana ia menyukarkan pemain lain dan mengubah rentak permainan kita.
"Kita beraksi baik ketika bermain 11 pemain dan masih mampu mencipta beberapa peluang ketika beraksi 10 pemain. Tapi pada akhirnya, apabila 10 lawan 11, pasti usaha keras perlu dilakukan para pemain.
"Apa pun, saya tak kisah sangat kita hanya menang 1-0, selagi kita berjaya meraih tiga mata penuh. Itu yang lebih penting. Sudah tentu semalam Thailand dan Vietnam mencatat kemenangan besar 6-0 tetapi mereka tetap dapat tiga mata, bukannya enam mata.
"Terlalu awal untuk saya mengatakan mengenai perlawanan bertemu Vietnam. Biar kita cerita perlawanan malam ini terlebih dahulu.
"Tanpa Nazmi bertemu Vietnam, tiada masalah kerana tiada bintang dalam pasukan ini. Jika dia benar melakukan kesalahan dan digantung beberapa perlawanan, saya akan hantar dia pulang ke tanah air."
KOMEN JURULATIH TIMOR LESTE B-23, FABIO MAGRAO
"Malaysia pasukan yang kuat biarpun mereka beraksi 10 pemain. Kami tahu mereka lebih berkualiti dan fasiliti di negara mereka lebih baik daripada kami. Tapi kami sedikit demi sedikit cuba memperbaiki pasukan kami.
"Kami tewas menerusi satu gol mudah dan selepas itu biarpun kami berkelebihan menentang lawan yang beraksi 10 pemain, susah untuk kami tembusi pertahanan mereka apabila dibarisi empat hingga lima pemain.
"Mengenai insiden kad merah itu, ia berlaku di depan mata saya. Pembantu pengadil dan pegawai ke-4 juga nampak pemain No 7 (Nazmi Faiz) meludah pemain kami. Tindakannya itu umpama tiada rasa hormat kepada pemain lawan."
No comments:
Post a Comment