NGO Angkara Gesa Kerajaan Segera Baik Pulih Tembok TSK
KUANTAN: Kerajaan negeri diminta memberi perhatian terhadap kerja baik pulih tembok di hadapan Terminal Sentral Kuantan (TSK) yang masih gagal disiapkan.
Penyelaras Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, sehingga kini, kerja baik pulih tembok yang sudah hampir dua tahun tumbang itu sepatutnya sudah disiapkan.
“Kontraktor yang dilantik juga tidak kelihatan. Pihak kerajaan atau yang berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh bertangguh lagi. Mereka perlu ambil tindakan segera supaya tembok berkenaan dapat dibina semula,” katanya.
Tembok di hadapan TSK itu pecah akibat ditenggelami banjir besar yang melanda hampir keseluruhan daerah ini, pada Disember 2013.
Menurut beliau, tembok tumbang itu jika dibiarkan boleh menjejaskan imej bandar ini sebagai ibu negeri.
“Ramai pelancong datang ke negeri ini melalui TSK yang merupakan salah satu pintu masuk ke bandar ini selain lapangan terbang dan sebagainya.
“Dengan keadaan sedemikian rupa, sudah tentu memberikan pandangan buruk. Jadi saya minta pihak berkenaan yang bertanggungjawab segera menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Rohaya Ali, 39, berkata, pihak berkenaan perlu memastikan keceriaan dan keindahan di kawasan tersebut memandangkan ia antara lokasi tumpuan yang mampu memberi imej baik tentang negeri ini di kaca mata pengunjung.
“Kita perlu memastikan TSK kelihatan cantik kerana ia akan memberi imej positif dalam kalangan pengunjung luar yang ramai datang,” katanya.
Manakala pelajar, Azwani Rohaizat, 21, merasakan kawasan TSK sepatutnya lebih cantik dan tiada sebarang persekitaran yang boleh mencacatkan pemandangan kerana ia tidak akan mencerminkan imej bandar ini sebagai Bandar Lestari.
“Bangunan dah cantik tetapi kawasan persekitaran tidak elok. Bagi saya ia langsung tidak mencerminkan Kuantan sebagai Bandar Lestari,” katanya. #sumber
No comments:
Post a Comment