Monday, 25 May 2015

MB: Syarat Lebih Ketat Akan Di Kenakan Kepada Pembalak







KUANTAN: Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini diberitahu syarat yang lebih ketat akan dikenakan kepada pembalak bagi memastikan mereka yang menjalankan kegiatan pembalakan di Pahang menjaga alam sekitar.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata walaupun industri pembalakan didakwa menjadi antara punca berlakunya banjir besar di negeri ini namun ia bukanlah punca utama musibah itu melanda negeri ini.

"Kegiatan pembalakan sedikit sebanyak memberi kesan kepada alam sekitar tetapi ia bukan punca utama kepada berlakunya banjir besar di negeri ini tahun lalu yang menjejaskan hampir kesemua daerah.

"Dulu pun ada kejadian banjir besar iaitu pada 1926 di mana pada waktu itu ada kegiatan pembalakan yang dibuat secara manual termasuk menggunakan gajah...tahun 1971 pun banjir besar serta ada pembalakan begitu juga tahun lalu.

"Banjir besar bukan disebabkan pembalakan semata-mata tetapi ada sebab lain antaranya perubahan cuaca," katanya menjawab soalan Andansura Rabu (Pas-Beserah) pada sidang Dun di Wisma Sri Pahang, di sini.

Andansura meminta penjelasan sama ada kegiatan pembalakan dipercayai menjadi punca kepada kejadian banjir besar di negeri ini pada penghujung tahun lalu.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Mohamed Ali (BN-Peramu) mengenai kemasukan masyarakat Kemboja secara haram di Pekan, Adnan berkata, Jabatan Imigresen sudah menjalankan penguatkuasaan dan menahan 32 orang pada tahun lalu dan awal tahun ini.

"Bidang kuasa Imigresen terletak di bawah kerajaan persekutuan dan kita faham masalah pendatang asing dalam kalangan masyarakat Kemboja ini menjadi satu kesulitan, ia turut berlaku di seluruh negara.

"Berdasarkan penguatkuasaan di Pekan, sebanyak 11 tangkapan dibuat pada 2014 dan 20 tangkapan pada 2015," katanya.

Adnan berkata, selain penguatkuasaan kerajaan persekutuan juga mengetatkan pintu masuk di sempadan bagi mengelak kemasukan pendatang asing tanpa izin. #sumber

No comments:

Post a Comment