Monday, 25 May 2015

Kecewa Dengan PAS, Mat Taib Mungkin Tinggalkan Parti Itu






PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib dilapor mahu meninggalkan PAS dan akan menunggu sehingga selesainya Muktamar Agung parti itu awal bulan depan sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Menurut laporan yang dipetik daripada Malaysiakini, Muhammad dikatakan berhasrat berbuat demikian selepas kecewa dengan parti tersebut.

Muhammad berkata, pemimpin PAS ketika ini mengabaikan pendekatan yang pernah diambil oleh bekas mursyidul am mereka, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Katanya, Nik Aziz menunjukkan rasa kasih dan hormat kepada semua pihak tanpa mengambil kira agama dan suku bangsa mereka.

“Kita mahukan seorang tokoh warak seperti Allahyarham Nik Aziz sebagai pemimpin. Semua orang sayang kepada dia. Orang Buddha sayang, Hindu sayang. Tapi kita tak lagi nampak macam tu,” katanya.

Sebelum ini, kata Muhammad, beliau sangat berminat dengan PAS.

“Kini tak berminat sangat,” katanya.

Beliau yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor antara Ogos 1986 hingga April 1997 berkata, faktor itu menjadi antara pendorong anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tamrin Ghafar meninggalkan PAS tahun lalu.

“Sahabat saya Tamrin dah meninggalkan PAS. Kata beliau, PAS sekarang dah mengarut. Saya masih mahu menunggu keputusan pemilihan dalam muktamar nanti,” jelasnya. #sumber

No comments:

Post a Comment