PETALING JAYA:Keengganan calon Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil sepentas dengan Suhaizan Kayat menerusi program debat atau wacana dianggap sebagai tindakan yang tidak bijak.
Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS, Mohd Fakhrul Razi Mohd Mokhtar (foto) berkata, wujud keperluan bagi dua individu berkenaan untuk tampil menyatakan hala tuju masing-masing menjelang pemilihan kepimpinan baharu sayap itu Jun ini.
"Jika Suhaizan sudah bersedia mengapa Nik Abduh tidak mahu sepentas? Apa salahnya medan wacana ini dijadikan medan tautan ukhuwwah setelah sebelum ini masing-masing sukar duduk bersama sepentas walaupun pernah bekerjasama semasa menganggotai kepimpinan Pemuda PAS di bawah ustaz Nasrudin Hassan.
"Anak muda hari ini mahu melihat idea-idea yang boleh bantu mereka berdepan dengan keadaan ekonomi serta politik yang caca merba," katanya menerusi kenyataan di sini.
Sebelum ini, dilaporkan Nik Mohamad Abduh menolak untuk berdebat dengan Suhaizan yang merupakan penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS seperti yang dicadangkan sesetengah pihak.
Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS itu sebaliknya selesa untuk mengambil pendekatan berdiam diri dan berpendapat adalah lebih wajar sekiranya ahli parti menilai setiap calon berdasarkan prestasi masing-masing.
Suhaizan bagaimanapun menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam program wacana bersama Nik Mohamad Abduh dengan hati terbuka. #sumber
No comments:
Post a Comment