Wednesday, 13 May 2015

Warga Pekan Kecewa Terima Bekalan Air Keruh Dan Kotor !







PEKAN: Kebanyakan pengguna air di sini meluahkan rasa kesal terhadap kesulitan terpaksa mereka lalui akibat bekalan air yang keruh yang diterima sejak beberapa minggu lalu.

Seorang penduduk, Abdul Rahim berkata, bekalan air kotor yang diterima menyebabkan dia sekeluarga tidak selesa untuk menggunakannya.

Menurutnya, tidak semua penduduk mempunyai mesin penapis air yang mencecah kos ribuan ringgit untuk mengatasi masalah bekalan air kotor.

“Masalah air kotor kembali berulang dan menyebabkan pengguna ragu dengan tahap jaminan bekalan air bersih dan terpaksa membeli penapis air sendiri walaupun yang murah.

“Lapisan kotoran dari bekalan air boleh dilihat di dasar baldi tadahan dan keadaan tersebut turut menyumbang penyakit gatal kulit khususnya di kalangan ahli keluarga yang mempunyai masalah kulit sensitif,” katanya ketika ditemui .

Menurutnya, ramai ahli keluarga yang pulang bercuti ke kampung baru-baru ini terpaksa membeli bekalan air mineral di pasar raya kerana bimbang untuk menggunakan bekalan air paip sebagai sumber minuman dan memasak.

“Keadaan ini menyukarkan saya dan keluarga menyulitkan kerja harian malah bekalan air bersih yang diterima sebelum ini telah bertukar rupa dan dibimbangi mengundang masalah lain seperti tahap kesihatan pengguna serta kerosakan pakaian akibat air kotor.

“Saya berharap agar pihak berkaitan memantau dan memeriksa keadaan semasa tangki air utama serta paip yang menjadi saluran bekalan air kepada kami penduduk di kawasan ini, sekali gus menyelesaikan isu bekalan air kotor yang dihadapi,” katanya.

Sementara itu, Paip Daerah Pekan yang dihubungi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk terlibat mengenai masalah yang dialami namun kakitangannya akan turun ke lokasi berkaitan untuk membuat tinjauan dan pemeriksaan teliti bagi menyelesaikan isu tersebut. #sumber

No comments:

Post a Comment