PUTRAJAYA:Desakan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno hanya usikan nakal dalam politik, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata secara asasnya sokongan terhadap kepimpinan Najib masih utuh sama ada daripada dalam UMNO mahupun dalam kalangan masyarakat.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Simposium Biosekuriti Tumbuhan di sini Selasa, beliau berkata kecaman terhadap kepimpinan Najib hanya dibuat 'kumpulan yang terlalu kecil' dan kebanyakan tuduhan juga dibuat tanpa asas dan bukti yang benar.
"Hanya (disuarakan) sekumpulan kecil individu, bukannya kemahuan anggota parti secara keseluruhan," katanya, sambil menambah kata bahawa pertemuan perdana menteri bersama ketua-ketua Bahagian Umno pada satu majlis makan tengah hari semalam berjalan dengan baik.
Mengenai simposium itu, Ismail Sabri berharap ia menjadi platform untuk memberi kefahaman berhubung kepentingan pelaksanaan biosekuriti tumbuhan dalam melindungi industri pertanian daripada serangan perosak tumbuhan terutama yang dibawa masuk dari luar negara.
Katanya kemasukan perosak asing berbahaya seperti Serangan Penyakit Mati Rosot Betik perlu dibendung kerana pada 2013 umpamanya ia menyebabkan eksport betik menurun kepada RM30 juta berbanding RM99 juta pada 2002.
Antara langkah biosekuriti yang dilaksanakan bagi melindungi industri pertanian negara adalah pemeriksaan produk pertanian di pintu-pintu masuk, pemeriksaan ke ladang serta pusat pembungkusan di luar negara sebelum sesuatu pengimportan dilaksanakan, katanya.
Ismail Sabri berkata pemahaman mengenai kawalan makhluk perosak melalui pelaksanaan aktiviti biosekuriti yang lebih berkesan bersama pengamalan amalan pertanian baik perlu diaplikasikan setiap peladang untuk produk eksport.
Katanya produk yang dieksport perlu mematuhi keperluan dan peraturan fitosanitasi negara berkenaan seperti Jepun yang menetapkan 13 langkah sebelum mendapat laluan pasaran bagi setiap komoditi memasuki negara itu.
Simposium tiga hari itu disertai 300 peserta terdiri daripada wakil 18 jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan serta ahli akademik. #sumber
No comments:
Post a Comment