Wednesday, 13 May 2015

Exco: Landasan Kapal Terbang Tioman, Perlu Di Panjangkan






PULAU TIOMAN: Kerajaan Negeri Pahang berharap Malaysia Airports dapat memanjangkan landasan kapal terbang di Kampung Tekek di sini daripada 992 meter yang ada sekarang kepada 1,292 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata tambahan 300 meter landasan itu amat penting bagi membolehkan pesawat jenis ATR-72 yang digunakan beberapa syarikat tambang murah di negara ini mendarat secara terus di Pulau Tioman.

"Sebelum ini Berjaya Air menggunakan pesawat De Havilland Dash 7 dengan kapasiti 48 penumpang ke pulau ini, namun ia dihentikan kerana kos operasi terlalu tinggi, ditambah lagi sudah tidak ada syarikat penerbangan di dunia yang mengeluarkan pesawat jenis itu.

"Kebanyakan pelancong terutama dari Eropah lebih gemar menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara kerana lebih menjimatkan masa selain boleh beroperasi sepanjang masa termasuk semasa musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah Sultan Ahmad Shah International Eco-Challenge (SASTIEC) Pulau Tioman 2015 di sini.











Sehubungan itu, Mohd Sharkar berkata kerajaan negeri amat berharap MAB dan kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan perkara ini bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Pulau Tioman yang sememangnya terkenal keindahan alam semula jadi.

Beliau berkata beberapa perbincangan dilakukan bersama MAB dan pelan cadangan pembesaran landasan itu juga telahpun dikemukakan kepada kerajaan persekutuan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Pada tahun lepas sahaja, katanya seramai 268,784 pelancong direkodkan berkunjung ke pulau tersebut iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding 232,102 pelancong pada tahun sebelumnya. #sumber

No comments:

Post a Comment