Thursday, 14 May 2015

Ketua Polis: 84,781 'Waran Tangkap Tertunggak' Di Pahang !







KUANTAN:Pesalah trafik tegar yang pernah dikeluarkan waran tangkap diberi peluang terakhir hingga 18 Mei ini untuk menjelaskan dan menyelesaikan perintah mahkamah itu atau berdepan tindakan tegas selepas bermulanya Ops Warta 2015, 19 hingga 31 Mei depan.

Sepanjang tempoh 2003 hingga 25 April 2015, jumlah waran tangkap yang didaftarkan seluruh Pahang sebanyak 214,073 dan daripada jumlah itu, 129, 292 sudah dijelaskan namun 84, 781 masih tertunggak dan belum diselesaikan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abdul Ghani (foto) berkata, peluang sudah diberikan kepada mereka namun kebanyakan mengambil sikap lewa dan tidak mengendahkan saman dikeluarkan malah ramai yang ingkar hadir ke mahkamah selepas waran tangkap dikeluarkan.

Menurutnya, justeru Ops Warta 2015 yang akan dilancarkan serentak seluruh negara termasuk bagi kontinjen Pahang bermula 19 Mei ini bertujuan mengesan, menangkap dan mendakwa mereka yang terlibat.

“Kita sudah mengumpul data lengkap individu yang memiliki waran tangkap melalui risikan dan sebagainya untuk tindakan.

“Ops Warta ini akan dilaksanakan mengikut beberapa pendekatan antaranya, mengesan individu terlibat secara terancang melalui sekatan jalan raya di laluan rutin mereka yang dikenal pasti, di tempat kerja atau premis perniagaan dan pemeriksaan secara terbuka di tempat-tempat awam,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sharifuddin berkata, walaupun pihaknya mengambil pendekatan secara ‘soft tone’ namun ketegasan tetap diutamakan dalam melaksanakan operasi tersebut.

“Kita menyeru kepada mereka yang terlibat termasuk pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak agar membuat semakan segera di kaunter trafik dan menyelesaikannya.

“Bagi memberikan kemudahan kepada mereka, polis trafik membuka kaunter semakan dan bayaran saman setiap hari termasuk pada cuti hujung minggu sehingga jam 10 malam,” katanya.

Beliau berkata, selepas Ops Warta 2015 bermula, tiada lagi peluang kepada mereka sebaliknya tindakan tangkap dan pendakwaan akan dibuat.

“Apabila ditangkap, mereka akan melalui proses perundangan termasuk proses pendakwaan, jaminan dan hukuman.

“Hukuman terserah atas budi bicara mahkamah mengikuti peruntukan sedia ada namun pesalah berpeluang untuk mengemukakan rayuan,” katanya. #sumber

No comments:

Post a Comment