KUALA LUMPUR: PKR mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merampas dan menghentikan program mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang melibatkan Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli semalam.
Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa, tindakan menghentikan forum itu dengan cara yang keji membuktikan profesionalisme UIAM semakin lemah dalam mengangkat budaya intelektual dalam kalangan mahasiswa.
"Pada awalnya telah dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi UIAM, dibatalkan dengan cara yang penuh keji yang melihatkan lemahnya profesionalisme unit keselamatan UIAM dalam mengendalikan perkara tersebut.
"Amat menjengkelkan bagi UIAM untuk menghentikan program dengan cara biadab sedemikian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam Forum GST bertajuk "Antara Pertumbuhan Ekonomi dan Keadilan Sosial" di auditorium utama UIAM, semalam, ketika Rafizi mahu memulakan ucapannya, mikrofon beliau dirampas oleh seorang kakitangan keselamatan UIAM sekali gus menghalangnya daripada meneruskan forum.
Tindakan unit keselamatan UIAM itu turut dirakamkan peserta yang hadir malam tadi dan ia telah dimuat naik di internet hingga menjadi viral di laman media sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Rektor UIAM, Dr Zaleha Kamaruddin bertanggungjawab di atas insiden yang memalukan itu.
"Sewajarnya dia mengundurkan diri atas kegagalan beliau menguruskan kebebasan akademik di UIAM pada tahap yang sepatutnya!
"Kegagalan pihak pengurusan UIAM di bawah kepimpinan Dr Zaleha untuk membudayakan kebebasan akademik, khususnya dalam membahas dasar utama negara adalah satu kegagalan yang tidak boleh dimaafkan," katanya lagi. #sumber
No comments:
Post a Comment