Thursday, 14 May 2015

Pasar Sejahtera Ikan Segar Berserah Termoden Di Pahang !







KUANTAN: Pembinaan pasar sejahtera ikan segar Berserah yang bernilai RM3.9 juta adalah satu lagi mercu tanda pembangunan baharu yang mampu mengubah imej kawasan ini.

Pasar di tapak yang siap dibina Disember tahun lalu menyediakan 26 unit gerai dengan kemudahan yang lengkap bagi keselesaan pelanggan.

Yang Dipertuan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Zulkifli Yaakob (foto) berkata, pasar sejahtera ini adalah yang termoden, tercanggih dan terbaik di negeri ini kerana pembinaan bangunan tersebut berkonsepkan teknologi hijau.

“Pasar yang kita bina ini berbeza dengan pasar segar yang ada di negeri ini kerana pembinaannya lebih mengutamakan pengudaraan dan pengudaraan secara semula jadi dengan ketinggian bumbung 15 kaki.

“Selain itu, pasar ini turut menggunakan tenaga solar, sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan (SPAH), penggunaan born crusher dan menyediakan grease trap secara berpusat.

“Konsep yang digunakan ini sebenarnya masih belum diwujudkan mana-mana pasar di negeri ini dan kita sifatkan ia adalah sebuah pasar termoden di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pasar Sejahtera Ikan Segar Berserah di perkarangan pasar tersebut semalam. Majlis tersebut telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, terdapat 26 unit kedai telah dibina di kawasan tersebut dengan pelbagai jenis jualan antaranya barangan basah seperti ikan, ayam dan barangan keperluan lain.

“Sebanyak 15 unit gerai diberikan bagi peniaga yang mengusahakan penjualan ikan; 2 unit lagi gerai jualan ayam, manakala selebihnya gerai sayuran, ketupat, keropok, ikan masin, buah-buahan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, peniaga yang berniaga di sini sebelum ini telah dibawa untuk melawat Pasar Taman Tun Ismail di Kuala Lumpur, bagi membolehkan mereka melihat cara peniaga menjaga kebersihan pasar mereka.











“Kita mahu peniaga di sini mencontohi amalan yang baik yang ditunjukkan oleh peniaga di Pasar Taman Tun Ismail dengan mempraktikkan sifat baik itu ketika berniaga di pasar ini.

“Jadi peniaga di pasar ini perlu menjaga kebersihan itu dengan memastikan lantai sentiasa kering, tiada sampah sarap bagi memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar peniaga mendapatkan kelulusan daripada MPK sekiranya ingin membuat penambahbaikan gerai mereka terlebih dahulu.

“Saya harapkan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan oleh MPK dan menggunakan kemudahan yang disediakan sebaiknya,” katanya. #sumber

No comments:

Post a Comment