KUANTAN: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) bimbang kerakusan pelombong bauksit mengakibatkan gangguan kepada pendaratan penyu yang menjadi sebahagian dari tarikan pelancong di negeri ini.
Ahli Majlis Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Noor Jehan Abu Bakar berkata, April hingga Oktober adalah tempoh penyu bertelur dan isu pencemaran itu boleh menjejaskan habitat binatang berkenaan.
Katanya, pencemaran laut bukan sahaja boleh memberi kesan kepada pendaratan malah mengakibatkan anak penyu yang dilepaskan ke laut mati sebelum sampai ke laut dalam.
“Populasi penyu di sini sudah berkurangan dan tidak banyak spesies yang mampu hidup di perairan kita akibat pencemaran,” katanya selepas menyertai Program Pembersihan Pantai di Swiss Garden Beach Resort di sini, Ahad lalu.
Beliau berkata, MNS kini sedang berusaha memulihara hidupan laut itu bersama dua pusat penetasan penyu di Cerating.
Menurutnya, Pantai Rantau Abang di Dungun, Terengganu yang terkenal dengan penyu bertelur suatu ketika dulu kini hanya tinggal replika kerana persekitarannya sudah tidak sesuai habitatnya.
Bagaimanapun katanya, Pantai Teluk Mak Nik kini menjadi tempat haiwan itu bertelur kerana kebersihan pantainya dan sebanyak 1,700 penyu dapat dilepaskan ke laut hasil kerjasama pusat penetasan terbabit.
“Malam tadi (semalam) tiga penyu bertelur di pantai itu dan kita berjaya mengambil kira-kira 300 telur untuk ditetaskan,” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya bimbang kerana selain pencemaran pantai, anak penyu terdedah dengan ancaman plastik dan polisterin yang mengakibatkan kematian.
Katanya, dalam persekitaran pantai kini, sebanyak 1,000 dilepaskan, hanya satu yang hidup dan membesar di laut.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata, pembersihan pantai adalah inisiatif terbaik kepada pengusaha hotel bagi memastikan persekitarannya bersih untuk keselesaan pengunjung.
“Pantai adalah antara tarikan pelancong ke Pahang dan sekiranya aset ini tercemar, sudah pasti mereka tidak berminat mengunjungi pesisir pantai kita,” katanya.
Beliau turut memuji usaha pelbagai pihak yang turut sama menyelesaikan masalah minyak hitam yang mencemari pesisir pantai di Kuantan baru-baru ini.
Katanya, pencemaran pantai boleh bermula dengan pembuangan sampah ke sungai atau longkang yang akhirnya memberi kesan kepada keindahan pantai yang sebenarnya sebahagian daripada keunikan Pahang. #sumber
No comments:
Post a Comment