KUANTAN: Polis Pahang akan memastikan pelajar semua sekolah di negeri ini mematuhi undang-undang yang ditetapkan melalui Ops Roda-Sekolah yang kini giat dilaksanakan di seluruh Pahang.
Bagaimanapun usaha itu memerlukan kerjasama guru dan ibu bapa untuk memberi kesedaran kepada pelajar terbabit sekali gus mengelakkan kemalangan jalan raya dalam kalangan pelajar yang gagal mengikut undang-undang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, polis bersedia memberi kerjasama kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membabitkan program kesedaran dan pendidikan undang-undang jalan.
Menurutnya, dalam tempoh tiga hari Ops Roda yang bermula Isnin lepas, ramai pelajar sekolah yang tidak mempunyai lesen memandu, pemilik yang membenarkan motosikal mereka digunakan pelajar yang tidak mempunyai lesen, dan kesalahan berkaitan undang-undang jalan raya.
“Sebanyak 618 saman dikeluarkan dalam tempoh tiga hari membabitkan 301 saman kerana tiada lesen memandu manakala 30 saman dikenakan kepada pemilik motosikal yang membenarkan pelajar menunggang tanpa lesen dan 287 membabitkan lain-lain kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Ops Roda -Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar di sini, semalam.
Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 23 motosikal disita dalam Ops Roda Sekolah di 37 sekolah di seluruh negeri.
“Dalam operasi ini, ramai pelajar mengaku ibu bapa mereka membenarkan mereka menunggang motosikal walaupun tidak mempunyai lesen memandu dan pihak sekolah juga perlu prihatin dan mengingatkan pelajar dengan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pegawai pendidikan daerah menyambut baik operasi itu dan ada juga ibu bapa yang menghantar sendiri anak mereka selepas ops bermula.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuantan, Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mohd Zin.
Ops Roda bertujuan mendidik pelajar dan ibu bapa supaya mematuhi peraturan jalan raya walaupun pergerakan ke sekolah tidak jauh.
Operasi berkenaan diketuai cawangan trafik dan dibantu semua cawangan lain membabitkan 14 pegawai dan 80 anggota setiap hari di seluruh kontinjen bagi memastikan kelancaran ops itu. #sumber
No comments:
Post a Comment