Wednesday, 13 May 2015

Adnan: Kerajaan Negeri Pahang Kaji Kewajaran Serap GST !







KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan mengkaji kewajaran untuk menyerap GST bagi semua perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini dengan mengambil kira pelbagai aspek.

“Perkara ini kena buat kajian terlebih dahulu. Kita tidak boleh ikut orang lain, kena tengok kewajaran pelaksanaannya.

“Benda ini kita akan bincang, jika semua benda berkaitan GST nak dihapuskan, baik kita tidak payah laksanakan terus,” katanya ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Johor dan Terengganu supaya PBT mengecualikan GST dalam perkhidmatan mereka.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja ke-50 Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Kompleks Dagangan Mahkota di sini.

Pada majlis itu, Adnan turut melancarkan buku Kod Etika PKNP dan menyampaikan anugerah kepada kakitangan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Adnan berkata, penerangan berkenaan tidak mencapai sasaran dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

“Bagi saya, program penerangan GST sebelum ini tidak banyak membantu orang ramai memahami peranan sebenar GST dan sumbangannya kepada pembangunan negara.

“Kerajaan negeri akan membantu kerajaan pusat dalam proses menerangkan GST ini. GST sebenarnya sistem cukai yang bagus, cuma mungkin penerangan sebelum ini tidak berjaya difahami oleh orang ramai.

Beliau yakin sesuatu yang baik, sekiranya diterangkan dengan baik ia akan diterima masyarakat, namun ia berlaku sebaliknya.











“Jadi dalam hal ini kerajaan persekutuan perlu memberi penjelasan sebaiknya dan kita sebagai kerajaan negeri akan memberi sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penurunan majoriti dalam PRK Parlimen Rompin memberi mesej jelas bahawa rakyat tertekan dengan kenaikan kos barangan yang tinggi.

Pada 10 Mei lalu, Kerajaan Johor membuat keputusan bahawa PBT akan mengecualikan GST ke atas perkhidmatan yang ditawarkan pelanggan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latiff Bandi berkata, cukai berkenaan yang dijangka berjumlah lebih RM3 juta setahun sebaliknya diserap dan ditanggung oleh PBT berkenaan. #sumber

No comments:

Post a Comment