KUANTAN: Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar dua kenderaan sebelum tercampak ke atas jalan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, berhampiran Indera Mahkota, di sini, awal pagi, Isnin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 pagi itu, mangsa, Aizat Hariz Mohamad Hisham, 18, dari Taman Melati, Gambang, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Pelabuhan dengan menunggang motosikal jenis Kawasaki KR150.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar belakang kereta Viva.
“Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta jenis sama sebelum dia tercampak jatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.
Zainalabidin berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghulurkan bantuan dengan menghubungi ambulan bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
“Mayat Aizat Hariz dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.
Zainalabidin berkata, pihaknya sudah mengambil maklumat daripada saksi dan pemandu kereta terbabit untuk melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #sumber
No comments:
Post a Comment