Thursday, 14 May 2015

Rampas Mikrofon Rafizi: UIAM Biadap & Lemah Intelektual








KUALA LUMPUR: KEADILAN mengecam keras tindakan kasar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberhentikan forum melibatkan Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, malam tadi.




Naib Presiden parti itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan, langkah pihak keselamatan merampas mikrofon ketika Rafizi sedang berucap sebagai biadap.




“Atas kapasiti (gelaran) ‘Taman Ilmu dan Budi’, adalah menjengkelkan bagi UIA untuk menghentikan program dengan cara biadap sedemikian, apatah lagi ini jelas menunjukkan kelemahan UIA dalam mengangkat budaya intelektual di kalangan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan.




Pergelutan itu berlaku di kampus tersebut selepas pihak keselamatan merampas mikrofon daripada Rafizi ketika beliau sedang berucap berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).




Suasana bertukar kecoh apabila sebahagian mahasiswa tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai keselamatan itu sebelum berlaku insiden tolak menolak.




Shamsul berkata, program itu yang didakwa dipersetujui pengurusan tertinggi UIA pada awalnya dibatalkan dengan ‘penuh keji’.




Tambah bekas pemimpin pelajar dan alumni kampus itu lagi, tindakan berkenaan juga memperlihatkan lemahnya profesionalisme unit keselamatan UIA dalam mengendalikan perkara tersebut.




Menurut beliau, ia bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini perkara ini berlaku ke atas Ketua Angkatan Muda KEADILAN yang juga Exco Pendidikan Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.




“Malah beberapa tahun lalu, saya sendiri pernah diusir keluar dan tidak dibenarkan solat Jumaat di Masjid UIA atas sangkaan bahawa saya akan turut berdemonstrasi bersama para penuntut universiti,” ujar Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.




“Apalah guna jika UIA gah di mata dunia dengan rekod logo terbesar dengan 19,300 donut, tetapi lemah di mata umum kerana gagal mengislamisasikan pengurusannya dengan menjunjung budaya musyawarah dan kebebasan akademik,” katanya lagi.




Sehubungan itu, bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIA pada 1996 dan 1997 itu menuntut Rektor UIA, Dr Zaleha Kamaruddin tampil membuat penjelasan.




“Saya menggesa Dr Zaleha bertanggungjawab dan sewajarnya mengundurkan diri atas kegagalan beliau menguruskan kebebasan akademik di UIAM pada tahap yang sepatutnya!” tegas Shamsul. #sumber

No comments:

Post a Comment