Monday, 18 May 2015

JAIP Pasang Papan Tanda Cegah Maksiat Di Tempat Awam







KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah memasang papan tanda Jauhi Maksiat di beberapa tempat awam dalam usaha mencegah gejala itu dalam kalangan pengunjung.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani (foto) berkata, pemilihan lokasi berdasarkan beberapa kes maksiat yang diterima sebelum ini.

Kawasan panas itu menjadi tempat golongan tertentu melakukan maksiat secara terang-terangan atau sembunyi seperti berpelukan dan berkelakuan tidak senonoh.

Menurutnya, antara lokasi terbabit ialah Pantai Batu Hitam, Pantai Teluk Cempedak, Pantai Taman Gelora dan Esplanade Tanjung Api.

“Kita juga memasang papan tanda di Taman Teruntum, Taman Kerang dan Taman Esplanade bagi menyedarkan masyarakat mengenai kesalahan itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Jaip sedaya upaya membanteras kesalahan syariah di tempat awam bagi membolehkan masyarakat berekreasi dengan selesa tanpa gangguan.

Katanya, pemasangan papan tanda di beberapa taman awam di daerah ini adalah yang pertama sebelum diperluaskan di seluruh negeri pada masa akan datang.

“Usaha ini diharap dapat membantu pencegahan awal daripada berlakunya maksiat yang berleluasa,” katanya.

Mohamad Noor berkata, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada Jaip jika ada sebarang maksiat di kawasan berkenaan selain pemasangan papan tanda itu. #sumber

No comments:

Post a Comment