Thursday, 21 May 2015

Isu "Air Tercemar", PAS Hantar Memorandum Kepada JAS !







KUANTAN: Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) bersama PAS Kawasan Cameron Highlands, Lipis, dan Raub memandang serius isu pencemaran air sungai di kawasan hulu lembangan Sungai Pahang.



Ini berikutan beberapa kenyataan rasmi di media Facebook (salinan dilampirkan) milik Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pada bulan ini.



Kenyataan tersebut yang merupakan pemberitahuan gangguan bekalan air tidak berjadual akibat masalah kekeruhan air mentah melebihi 1000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) di beberapa loji pemprosesan air sungai.



Antaranya ialah Loji Air Sungai Jelai, Loji Air Benta, Loji Air Sungai Temau, Loji Air Batu Sawar, Loji Air Kuala Tahan, dan Loji Air Mela.












Kejadian kekeruhan air mentah melebihi 1000 NTU di kebanyakan kawasan hulu lembangan Sungai Pahang ini adalah merupakan alarming situation kepada kerosakan alam sekitar yang serius sehingga menjejaskan kualiti air sungai.



Kejadian ini bukanlah baharu malah sudah dikesan sejak lama. Antara bukti bergambar yang dapat kami rakam ialah kejadian air merah di sungai Lipis pada 18 Ogos 2014 (gambar dilampirkan). Rujukan boleh dibuat di sumber maya berikut:



a) http://roslanzainalalahmadi.blogspot.com/…/pencemaran-hulu-…;



b) http://www.harakahdaily.net/…/30284-pencemaran-hulu-sungai-…;



c) http://www.sinarharian.com.my/…/minta-siasat-punca-air-terc…;



d) http://www.sinarharian.com.my/…/kaji-projek-pembalakan-1.31…



e) http://kabodipahang.blogspot.com/…/sungai-lipis-tercemar.ht…;



f) http://roslanzainalalahmadi.blogspot.com/…/segerakan-penyel…;



g) http://suarainsan.net/air-sungai-di-bentong-pahang-bertuka…/



Dipercayai antara punca utama pencemaran ialah akibat aktiviti berikut:



a) Pembalakan keterlaluan dan gagal dikawal selia;



b) Industri perlombongan bijih besi dan emas;



c) Pembukaan hutan untuk perladangan tanpa mempedulikan kesan alam sekitar;



d) Aktiviti pertanian dan pembangunan tidak terkawal di Cameron Highlands.



e) Pembuangan sisa cecair yang tidak dirawat daripada perumahan, perbandaran dan industri kecil dan sederhana (IKS) terus ke dalam sungai; dan



f) Aktiviti perkilangan sawit dan getah.



Susulan rentetan aduan dan maklumat tersebut, kami menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera dan efektif bagi memastikan kawasan tadahan air di lembangan Sungai Pahang bebas daripada pencemaran. Antara tindakan yang perlu diambil ialah:



a) Membuat lawatan mengejut bagi mengenal pasti punca pencemaran air di Sungai Temau, Sungai Jelai, Sungai Lipis, Sungai Cheka, Sungai Tembeling, Sungai Tahan, Sungai Jengka, Sungai Semantan, dan semua sungai utama lain di seluruh negeri Pahang.



b) Menguatkuasakan undang-undang sedia ada berkaitan penjagaan kualiti alam sekitar dan pesalah hendaklah diambil tindakan dan hukuman supaya menjadi teladan yang mendidik rakyat;



c) JAS mengetuai pemantauan berkala bersepadu bersama agensi kerajaan yang berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), dan lain-lain. Melibatkan NGO bertemakan alam sekitar dan parti-parti politik di dalam pemantauan mungkin satu kaedah yang boleh membantu dalam meningkatkan kesedaran dan kualiti alam sekitar.



d) Menyediakan penyelesaian praktikal kepada masalah pelupusan sisa cecair dan pepejal daripada kawasan perbandaran dan perumahan.



e) Menyediakan pelan pemulihan dan penjernihan semula air sungai Pahang dalam masa terdekat supaya sungai tersebut dapat dimanfaatkan untuk aktiviti industri ikan air tawar dan ekopelancongan yang subur selain sebagai sumber bekalan air bersih untuk generasi akan datang.



f) Membuat kempen aktif dan berterusan untuk menerang dan mendidik di semua segmen masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.



g) Memastikan penanaman semula hutan berlaku di semua kawasan hutan yang telah dibuka untuk pembalakan atau yang telah dicerobohi dan digondolkan oleh penjenayah alam sekitar. Ini termasuklah memastikan spesies pokok yang ditanam adalah pelbagai termasuk pokok yang membekalkan makanan kepada mergastua / fauna supaya membantu mengekang masalah gangguan hidupan liar ke kawasan penempatan manusia. #sumber



Sekian, terima kasih.



YB ANDANSURA BIN RABU

ADUN Beserah

Merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Negeri Pahang



USTAZ HAJI ABDUL KARIM NOR

Yang Di Pertua PAS Kawasan Cameron Highlands



USTAZ HAJI ROSLAN BIN HARUN

Yang Di Pertua PAS Kawasan Parlimen Lipis



DR HAJI MOHAMED NILAM BIN MANAF

Yang Di Pertua PAS Kawasan Raub

No comments:

Post a Comment