KUANTAN: Orang ramai yang berhasrat membeli hartanah perlu merebut peluang berbuat demikian pada Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) peringkat negeri Pahang yang akan diadakan di Berjaya Megamall pada 22 hingga 24 Mei ini.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Negeri Pahang, Chua Say Chai berkata, mereka yang berminat perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk membeli rumah yang ditawarkan pada harga sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Menurutnya, kesemua rumah yang akan ditawarkan pada ekspo berkenaan masih menggunakan harga sebelum GST yang berkuat kuasa 1 April lalu.
“Ini adalah masanya untuk orang ramai mendapatkan rumah pada harga yang masih rendah berbanding jika selepas GST.
“Kesemua 99 projek yang ditawarkan membabitkan 2,858 unit akan ditawarkan pada ekspo tersebut dengan nilai keseluruhan RM1.12 bilion,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) peringkat Negeri Pahang, Cheoh Chee Guan.
Say Chai berkata, orang ramai boleh mendapatkan rumah mengikut kemampuan berdasarkan harga yang ditawarkan bermula RM180,000 hingga RM3.8 juta bergantung pada lokasi dan jenis rumah. #sumber
No comments:
Post a Comment