Monday, 18 May 2015

Polis Bentong Berjaya Tumpaskan Sindiket Curi Motorsikal








BENTONG: Sebuah kumpulan curi motosikal diketuai remaja berusia 17 tahun di Kampung Lebu berjaya ditumpaskan pihak polis daerah pertengahan bulan lalu.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dengan penangkapan sembilan ahli kumpulan terbabit berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini.


Menurutnya, remaja yang sudah tidak bersekolah itu bertindak sebagai orang yang akan mengumpul, meleraikan, menjual dan melupuskan rangka motosikal yang dicuri.


Selain itu, turut tumpas dalam satu operasi yang dijalankan oleh sebuah unit pasukan petugas khas ditubuhkan menangani kes kecurian motosikal terbabit ialah sebuah lagi kumpulan terdiri dari 11 ahli kumpulan di Karak.


“Dengan tertumpasnya kumpulan di Karak terbabit dapat menyelesaikan 11 kes kecurian motosikal sekali gus menjadikan keseluruhan 20 kes kecurian berjaya diselesaikan.


“Kesemua suspek berusia lingkungan 14 hingga 28 tahun itu telah direman di mana sebahagiannya telah pun dituduh di mahkamah,” katanya.


Katanya, kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.


“Hasil penangkapan itu, pihak polis menemui beberapa rangka motosikal yang dibuang di lombong dan sungai sekitar daerah ini,” katanya.


Mohamad Mansor berkata, sejak pihak polis berjaya menumpaskan dua kumpulan pencuri motosikal terbabit sekitar tiga minggu lalu, kejadian kes melibatkan kecurian motosikal semakin berkurangan.


“Penangkapan dua kumpulan terbabit membuktikan kejayaan pihak polis dalam menangani jenayah motosikal di daerah ini.


“Kumpulan yang ditubuhkan bertindak di atas risikan yang dibuat dan masih mengesan saki baki ahli kumpulan yang telah ditangkap selain turut mengesan kumpulan lain yang terlibat dengan aktiviti curi motosikal ini,” katanya.


Beliau berkata, pihak polis menasihatkan pengguna motosikal sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan motosikal mereka dicuri. #sumber

No comments:

Post a Comment