BERA: Sebanyak 22 saman dikeluarkan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32 termasuk seorang wanita yang membenarkan anaknya di bawah umur menunggang motosikal dalam Ops Roda, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Zul Haizal Zainal Abidin berkata, beberapa lokasi untuk Ops Roda membabitkan sekolah antaranya SMK Kerayong, SMK Triang, SMK Mengkarak, SMK Bandar Kerayong dan SMK Bera Bandar 32.
Menurutnya, pemilihan lokasi ini berikutan isu kesalahan lalu lintas di kalangan pelajar sekolah yang kerap diperkatakan media massa .
“Sebanyak 65 saman kesalahan lalu lintas dikeluarkan sepanjang empat hari Ops Roda Sekolah 2015 bermula pada 11 hingga 15 Mei di sekolah-sekolah terbabit di seluruh daerah Bera.
“Kesalahan trafik merangkumi tidak memakai topi keledar, menunggang tanpa lesen, motosikal tiada nombor plat dan lain lain lagi,” katanya.
Zul Haizal berkata, pihak polis membuat Ops Roda dijalankan di beberapa sekolah kerana mahu memberikan kesedaran kepentingan keselamatan jalan raya di kalangan pengguna jalan raya terutama pelajar sekolah.
Beliau berkata, ini juga sebagai usaha menyedarkan ibu bapa yang tidak menitikberatkan keselamatan anak-anak mereka dengan membiarkan anak-anak menunggang motosikal dalam keadaan bahaya seperti tidak memakai topi keledar dan tiada lesen.
“Selain itu, kita turut menerima aduan daripada orang ramai berhubung kesalahan lalu lintas dalam kalangan pelajar di kawasan sekolah tersebut.
“Saya berharap dengan operasi yang diadakan dapat melihat betapa seriusnya polis dalam penguatkuasaan undang undang lalu lintas demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya sambil memberitahu pihaknya akan meneruskan usaha termasuk memberikan kesedaran kepada pengguna motosikal agar mematuhi undang-undang dan aspek keselamatan jalan raya. #sumber
No comments:
Post a Comment